MENU

Sejarah Pengerang

 

Nama Pengerang tercatat di dalam buku karya Munsyi Abdullah berjudul Pelayaran Munsyi Abdullah dan Hikayat Abdullah. Beliau menceritakan mengenai sekitar Singapura dan pantai timur Johor. Ketika bertolak dari Singapura ke negeri pantai timur Semenanjung, beliau mencatatkan ada melalui Pengerang dan sepanjang pantai timur Johor Tenggara untuk terus ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Mereka berhenti beberapa kali untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan makanan. Peristiwa itu berlaku pada awal abad ke-19, iaitu sekitar tahun 1830-an.

Penempatan awal penduduk Pengerang dikatakan bermula penghijrahan orang berketurunan Jawa berasal dari daerah Sebong, Riau, Indonesia pada awal abad ke 19. Mereka membuka Kampung Sebong yang terletak di antara Kampung Jawa dan Kampung Pengerang. Ketika membuka kampung, sebahagian mereka dijangkiti demam malaria menyebabkan mereka mengerang menahan sakit. Bermula daripada perkataan 'mengerang' itu dikatakan punca terbit nama Pengerang.

Pendapat lain mengatakan, perkataan Pengerang berasal daripada nama pedagang berasal dari Brunei bernama 'Pengiran' yang datang dan meninggal dunia di situ. Ketika hendak berdagang ke Singapura bersama tiga rakannya, beliau diserang sakit lalu meninggal dunia. Rakannya membawa jenazah Pengiran mendarat di sekitar Kampung Jawa sekarang untuk dikebumikan. Menurut cerita, Pengiran dikatakan seorang yang istimewa dan anak seorang pembesar. Selepas kematiannya, kubur beliau dianggap keramat oleh penduduk Pengerang.