Sosio budaya
Sejak awal pembukaan kampung di Pengerang, orang Melayu adalah kaum majoriti selain orang Cina dan India. Penduduk Pengerang juga terdiri daripada beberapa etnik. Penduduk Kampung Sungai Kapal dan Kampung Jawa contohnya, berasal dari Pulau Jawa. Penduduk Kampung Teluk Empang dan Sungai Buntu dikatakan berasal dari Daik, Lingga, Kepulauan Riau. Sementara itu, etnik Bugis di Kampung Lepau adalah berasal dari Sulawesi, manakala penduduk Teluk Ramunia dikatakan berasal dari Pekan, Pahang. Justeru, pelbagai latar budaya dan amalan rutin penduduk di sini banyak dipengaruhi budaya Jawa, Bugis dan Melayu Riau.
Keunikan dan Keistimewaan
Sekitar 1860-an, Pengerang berada di bawah pentadbiran Datuk Penggawa Timur, Dato' Jaafar Nong Yahya. Beliau adalah pegawai kerajaan Johor yang dilantik oleh Sultan Abu Bakar dan bertanggungjawab untuk mentadbir wilayah timur Johor.
Bermula 1930-an sehingga negara merdeka pada 1957, beberapa kampung diteroka oleh pendatang luar. Kawasan penempatan terawal seperti Kampung Pengerang, Kampung Jawa, Kampung Teluk Empang, Kampung Sungai Kapal, Kampung Sungai Buntu, Kampung Sungai Rengit dan Kampung Teluk Ramunia.
Di sebelah barat, Tanjung Pengelih menjadi pintu masuk melalui jalan laut dan sungai dari arah Kota Tinggi, Singapura atau Tanjung Puteri. Tanjung Pengelih mempunyai catatan sejarah tersendiri terutama kubu pertahanan tentera British yang dibina pada 1936. Ia dibina sebagai persediaan menghadapi serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua pada 1941-1945. Namun begitu, pihak British begitu naif kerana kawasan Pengerang dipenuhi dengan ladang getah milik Syarikat Jepun. Kerja-kerja membina kubu itu turut dikaitkan dengan kehadiran buruh asing yang dibawa masuk Inggeris ke Pengerang.
Di kawasan kompleks KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih sekarang, pernah terdapat sebuah lapangan terbang yang dibina oleh British pada sekitar 1930-an. Sebaliknya, lapangan terbang tersebut yang menggunakan landasan tanah itu turut dimanfaatkan tentera Jepun ketika menjajah negara ini. Kini ia hanya tinggal nama dan tidak digunakan selepas itu.
Pengerang adalah ‘Penghujung Benua Asia’ di sebelah timur Johor. Ia juga merupakan titik paling selatan di Semenanjung Tanah Melayu. Buktinya terdapat batu tanda 0 Kilometer di Kampung Teluk Ramunia.
Perlombongan bauksit yang dijalankan di Teluk Ramunia sejak 1950-an menjadi simbol kemajuan Pengerang. Pulau Batu Putih yang terletak di perairan Pengerang pula menjadi batu tanda sempadan timur Pengerang. Sejarah pembinaan Rumah Api Horsburg dan peri pentingnya fungsi pulau itu kepada para pedagang 2 laluan laut antarabangsa di perairan Laut China Selatan. Pulau kecil itu tidak boleh dipisahkan dengan Pengerang, walaupun kini pulau itu menjadi milik Singapura.