MENU

         Politik dan Pentadbiran.

Ketika Perang Dunia Kedua, kerajaan British mengarahkan penduduk Pengerang berpindah ke Masai, Ulu Tiram, Permas dan Kampung Bakar Batu dan  Johor Bahru bagi mengelakkan mereka daripada diancam serangan tentera Jepun.

Apabila Jepun memerintah (1941-1945), Pengerang  ditadbir sebuah syarikat Jepun - ‘Iskkhara Sangyo Kabushiki Kaisha’ yang mengusahakan lombong bauksit di Teluk Ramunia. Ketika pentadbiran Jepun juga,  jalan raya pertama dari Tanjung Pengelih ke Teluk Ramunia dibina. Pada zaman darurat (1948-1960), Pengerang dilabel sebagai 'kawasan hitam' kerana ancaman komunis. Hanya pada 1956, ia diisytiharkan sebagai 'kawasan putih'.

Sejak merdeka pada 1957, dari segi pentadbirannya Pengerang telah dinaiktaraf sebagai daerah kecil dalam daerah Kota Tinggi. Dari segi sempadan politik, kawasan ini pada awalnya termasuk dalam Parlimen Johor Tenggara. Kemudian, ditukar kepada Parlimen Panti, Parlimen Kota Tinggi dan kini Parlimen Pangerang.

 

         Perhubungan

Sebelum ini, kaedah perhubungan dan pengangkutan utama di Pengerang menggunakan jalan air. Penduduk yang hendak berurusan di Johor Bahru perlu menaiki bot penambang ke Jeti Tanjung Puteri manakala yang hendak ke Singapura menaiki bot penambang ke Jeti Changi. Sungai Johor turut menjadi nadi utama laluan di Kota Tinggi atau ke Johor Bahru melalui Masai. Selain itu, Tanjong Surat, Pasir Gogok, Teluk Sengat dan Kong Kong turut menjadi pengkalan penduduk.